Ziana Zain sebak dirai peminat


TUMPUAN. Ziana bergambar kenangan bersama ahli kelab peminatnya, Zianafolks.

ZIANA tidak dapat menahan air mata yang mengalir di pipinya saat dia diraikan oleh kelab peminatnya Zianafolks di Hotel Vistana, Kuala Lumpur, sempena kelahirannya yang ke-43 tahun.

Malah, Ziana mengaku peminat merupakan nadi untuk dirinya terus bertahan dalam bidang seni sejak 20 tahun lalu.

"Saya tidak sangka peminat masih setia menyokong saya sehingga ke hari ini.

"Alhamdulillah, kerana Tuhan masih memanjangkan usia saya sehingga kini," katanya sambil menyapu air mata yang mengalir di pipi.

Ziana juga tidak dapat menahan sebak ketika dia dihadiahkan dengan sebuah lukisan keluarga daripada peminat-peminatnya.

Menurutnya, industri hiburan kini sudah terlalu ramai dengan artis. Ziana tidak tahu sampai bila dia masih bertahan dan berapa tahun lagi dia akan berada di bidang seni.

"Saya serahkan segala-galanya kepada Allah. Mungkin inilah perjalanan hidup dan rezeki yang telah ditentukan oleh Tuhan untuk saya," luahnya mengenai pembabitan dalam dunia seni yang kini sudah menginjak usia 20 tahun.

Peminat-peminat yang hadir pada sambutan hari jadinya terdiri daripada peminat-peminat setianya dan juga peminat-peminat dari Singapura dan Brunei.

Mengenakan tema ungu sempena sambutan hari jadinya kali ini, Ziana diraikan dengan pelbagai persembahan daripada peminat dan media.

Selama ini dirinya menghiburkan peminat. Sempena sambutan hari jadinya yang ke-43 tahun, kelab peminatnya Zianafolks menganjurkan persembahan buat Ziana Zain.

Setiap meja perlu membuat membuat persembahan lagu-lagu Ziana Zain yang terpilih dan media turut tidak terkecuali.

Ziana memberitahu, bukan senang untuk dirinya membina karier seni dari mula sehingga kini. Katanya, dia ada tanggungjawab terhadap diri dan masyarakat.

Disebabkan itu, dia sentiasa memastikan dirinya untuk tampilkan benda-benda positif.

"Saya mahu tinggalkan industri ini dengan buku yang bersih dan kenangan-kenangan yang indah.

"Kalau ikutkan anak sudah empat saya nak settle down daripada bidang seni. Tetapi, saya tidak mahu hampakan peminat yang masih setia mencari khabar baru tentang diri saya. Saya masih ingin berada dalam bidang seni," ujarnya yang sememangnya masih relevan dalam industri hiburan.

No comments:

Post a Comment