Ziana Zain enggan nama jadi buruk
SEMAKIN anggun dan jelita pada usia 43 tahun, nama Ziana Zain masih relevan di persada seni tanah air.
SELAMA 20 tahun menceburi bidang seni, jarang sekali nama Ziana Zain dicalit dengan kontroversi. Namun, sehebat mana dirinya cuba menepis kontroversi dia akhirnya tewas.
Pemilik sebenar nama Siti Roziana Zain ini tiba-tiba sahaja dilabel sebagai tidak profesional dan berlagak diva.
Semuanya gara-gara pelantun lagu Puncak Kasih itu enggan mengayakan baju 'bareback' rekaan Christian Dior yang mendedahkan sebahagian besar bahagian belakang badannya untuk muka depan sebuah majalah fesyen terkenal.
Ziana juga dikatakan nekad meninggalkan sesi fotografi yang menggandingkan dirinya bersama Erra Fazira, Ning Baizura dan Fauziah Latiff itu kerana terlalu marah.
Akibatnya, sesi fotografi untuk muka depan majalah itu terpaksa diteruskan hanya dengan Fauziah Latiff yang kemudian disertai oleh Dayang Nurfaezah, Misha Omar dan Mizz Nina yang menggantikan Ziana, Erra dan Ning.
Malah, impak daripada tindakan Ziana itu, majalah tersebut telah menyiarkan artikel susulan tentang kakak kepada penyanyi Anuar Zain itu.
Berikut antara sedutan daripada artikel dalam majalah tersebut yang tertulis: 'Apabila kita terlalu emosional kita akan hilang pertimbangan dan bertindak di luar priofesionalisme. Masih banyak cara untuk mengatasinya. Soalnya, Ziana tidak memberi ruang untuk warga kerja kami berbuat demikian.
'Ada yang bertanya antara keempat-empat diva ini siapa yang paling 'kertu' (tua), tetapi kami tidak menganggap diri Ziana yang sudah berumur 43 tahun itu 'kertu' (kecuali dia anggap dirinya kertu). Justeru, kita lihat majalah tidak pernah menuakan Ziana (kecuali Ziana sendiri)'.
Kosmo! berpeluang mendapatkan jawapan Ziana berhubung perkara tersebut pada pertemuan sempena sambutan hari lahirnya yang dilangsungkan di Hotel Vistana, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Mengenakan persalinan ungu rekaan pereka terkenal Rizman Ruzaini, Ziana yang masih anggun dan jelita pada usia 43 tahun itu melahirkan rasa sedih dan menganggap perkara tersebut merupakan pengalaman pahit dalam hidupnya.
"Selama 20 tahun berada dalam industri hiburan, saya tidak pernah dilanda kontroversi seperti ini. Saya tidak mahu nama saya buruk disebabkan mengenakan pakaian sedemikian.
"Saya kena pakai pakaian mengikut usia saya. Saya kena tahu jaga hati peminat saya. Bagaimanapun, perkara seperti itu terjadi juga sehinggakan ada segelintir pihak mengatakan saya berlagak diva.
"Namun begitu, ramai peminat masih pertahankan diri saya" kata Ziana yang masih tidak dapat melupakan indiden yang berlaku pada bulan Mac tahun ini tersebut.
Insiden memalukan itu turut mendapat reaksi daripada ayah Ziana, Zain Abdullah.
"Dia tidak tahu ke yang dia kutuk itu anak siapa? Orang ini betul-betul kurang ajar," kata Ziana mengulas mengenai apa yang dikatakan oleh ayahnya.
Pak Zain turut menasihatkan anak sulung daripada lima beradik itu agar tidak terlalu tunduk kepada orang. Ada masanya dia perlu bertindak.
Ditebak sama ada dia mahu menyaman majalah tersebut, kata Ziana, dia tidak sampai ke tahap untuk menyaman majalah tersebut.
IMPIKAN KONSERT HEBAT
Terlalu lama Ziana Zain tidak mengadakan konsert. Kali terakhir, ibu kepada empat orang cahaya mata ini mengadakan konsert pada tahun 1996.
Konsert yang diberi nama Ziana Zain's Unplugged Consert yang berlangsung di Life Centre, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu telah dihadiri ribuan peminat Ziana.
Ziana dalam pada itu mengakui sememangnya dia mengimpikan sebuah konsert yang eksklusif.
Namun begitu, impiannya itu tidak tercapai disebabkan tidak mendapat tawaran yang bersesuaian.
"Ziana mengimpikan sebuah konsert yang hebat dan eksklusif, jadi Ziana kena fikir bayaran untuk pemuzik dan prop yang hebat. Belum termasuk bayaran untuk penari-penari, kostum dan sebagainya.
"Bukan bermaksud Ziana demand tetapi bayaran yang diminta adalah bersesuaian dengan peruntukan yang perlu saya salurkan," katanya yang baru sahaja tampil dengan single terbaharunya yang berjudul Pawana.
Selepas 20 tahun menjadi selebriti, Ziana telah dilantik sebagai jurucakap pelbagai produk antaranya Avon, NutriBeauty, Omega , Head & Shoulders, B&H, L'Oréal, Vono dan Brilliant Rose.
Malah, pada tahun lepas dia telah diterbangkan khas ke Australia untuk menjalani sesi fotografi dengan produk jenama Louis Vuitton.
Masih jelita dan memiliki bentuk tubuh yang menawan, Ziana bertuah kerana kontrak bersama Slim World masih disambung.
Bukan itu sahaja, Ziana juga kini merupakan duta produk Dutch Lady dan Antabax.
"Berat badan saya sekarang 51 kilogram. Umur dah masuk 40-an memang kena jaga berat badan.
"Tidak boleh terlalu kurus dan nampak cengkung dan tidak boleh terlalu gemuk," kata mentor kepada protege Mohd. Izwan Mohd. Nor atau Mohd. ini.
Menyentuh mengenai perjalanan karier Mohd. pula, Ziana menegaskan Mohd. bukan lagi di bawah tanggungjawabnya.
"Mohd. kini bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone. Saya cuma menjaga Mohd. semasa dalam program Mentor sahaja. Buat masa ini, saya sekadar memberi nasihat kepadanya," ungkap Ziana.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment