Sedekad pelayaran American Idol
BIARPUN dikritik hebat dan dikatakan pengaruhnya sudah semakin berkurangan, tiada siapa yang dapat menafikan impak besar yang terhasil menerusi American Idol (AI).
Terasa benar pantas masa berlalu dan tanpa disedari tahun ini menandakan program realiti paling popular di dunia itu sudah pun berusia 10 tahun.
Tiada siapa menyangka AI mampu bertahan selama sedekad dan sehingga kini rasanya masih belum dapat menandingi kehebatan AI sebagai program realiti paling berpengaruh.
Semuanya bermula pada tahun 2002 apabila Fox memperkenalkan sebuah program pencarian bakat baru untuk mencari bintang mega yang dapat menawan dunia.
Idea yang dicetuskan oleh Simon Fuller, konsep AI sebenarnya diambil daripada francais Pop Idol yang mula diperkenalkan di United Kingdom pada tahun 2001.
Merasakan potensi rancangan itu lebih besar di Amerika Syarikat, Fuller dan teman baiknya, Simon Cowell kemudiannya bercadang menjual hak penyiaran itu kepada beberapa stesen televisyen Amerika Syarikat.
Namun, malang sekali apabila ia ditolak mentah-mentah kerana pihak stesen televisyen merasakan konsep itu tidak mampu menarik perhatian ramai.
Tetapi tidak bagi ketua rangkaian televisyen Fox, Rupert Murdoch apabila dia cukup tertarik untuk membeli rancangan itu selepas dipujuk oleh anak perempuannya, Elisabeth yang merupakan peminat setia rancangan Pop Idol.
Selama setahun memikirkan konsep dan perubahan yang mahu dilakukan untuk rancangan itu, maka lahirlah American Idol: The Search of the Superstar pada tahun 2002.
Tanpa perlu mengambil masa yang lama, rancangan itu dengan pantas meraih populariti daripada penonton sehingga menjadi salah satu rancangan paling ramai ditonton di Amerika Syarikat ketika itu.
Ditambah pula dengan konsep pengundian yang dianggap baru ketika itu dan kemunculan Cowell, si mulut lancang yang terkenal dengan komen pedas menjadikan AI sebuah tontonan yang cukup menarik.
Kejayaan AI musim pertama itu telah mendorong pihak Fox tidak berfikir lama untuk meneruskan rancangan itu untuk musim-musim seterusnya.
Sekadar menyegarkan kembali ingatan pembaca dan peminat setia AI, musim pertama menyaksikan Kelly Clarkson mendapat undian mutlak rakyat Amerika Syarikat sehingga diangkat sebagai juara sulungnya.
Kemudian, legasi itu diteruskan oleh Ruben Studdard selaku juara AI2, Fantasia Barrino (AI3), Carrie Underwood (AI4) dan Taylor Hicks (AI5).
Untuk musim keenamnya pula menyaksikan Jordin Sparks dipilih sebagai juaranya dan diikuti oleh David Cook (AI7), Kris Allen (AI8) dan Lee DeWyze (AI9).
Seperti mana musim pertama, lapan musim seterusnya juga menyaksikan bilangan mereka yang hadir untuk uji bakat sentiasa bertambah setiap tahun.
Semuanya menyimpan hasrat untuk menjadi seorang bintang mega yang bukan hanya terkenal di negara mereka tetapi juga di seluruh dunia.
Kejayaan sembilan juara terdahulu menjadi memberi inspirasi kepada mereka untuk mencuba nasib dalam mengubah hidup mereka ke arah yang lebih baik.
Kini, AI kembali untuk musim kesepuluh. Ramai yang meletakkan harapan yang cukup tinggi bagi melihat musim terbaru ini akan dapat mengembalikan kegemilangan yang pernah dikecapi AI di awal kemunculannya.
Apatah lagi, tonggak utama AI yang menjadi perhatian saban tahun kini bertukar wajah apabila pihak produksi sepakat memilih penyanyi dan aktres jelita, Jennifer Lopez sebagai salah seorang pengkritik tetap musim ini.
Bukan itu sahaja, rocker legenda yang juga vokalis utama kumpulan Aerosmith, Steven Tyler juga terpilih bagi memberikan satu pendekatan baru dalam AI musim terbaru ini.
Hanya Randy Jackson yang masih setia bersama AI selama 10 tahun selain pengacara kacak, Ryan Seacrest.
Memang nampak janggal apabila tiada lagi kelibat Paula Abdul dan Simon Cowell yang dilihat menjadi nadi kepada AI sejak ia mula bersiaran.
Begitu juga dengan dua lagi bekas pengkritik tetap AI, Ellen DeGeneres dan Kara DioGuardi yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program realiti unggul itu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment