Yuna Teruja Dilantik Duta Canon


Yuna memegang kamera digital terbaru Canon 1100D berwarna merah yang direka khusus untuk wanita.

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penulis lagu Yunalis Zarai (Yuna) menyifatkan pelantikannya sebagai duta produk Canon akan lebih menyuntik semangatnya terhadap bidang fotografi.

Kata Yuna, sebelum pelantikan tersebut pun dia sememangnya menggunakan kamera digital Canon sejak usia remaja lagi untuk merakamkan gambar-gambar menarik di dalam kehidupannya.

"Saya sangat teruja dengan pelantikan sebagai duta produk Canon. Sebelum ini, sejak di bangku sekolah dan universiti saya memang merupakan pengguna jenama tersebut terutamanya kamera digital.

"Ciri-ciri kamera digitalnya yang mesra pengguna dan mudah untuk dikendalikan itu adalah faktor utama saya setia dengan Canon sejak dulu

"Tak sangka pula daripada pengguna setia, kini saya dilantik sebagai duta produk pula," katanya yang ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta Canon di Malaysia.

Bercerita lanjut, Yuna berkata, pemilihan itu berlaku atas dasar persefahaman yang terjalin di antara pihaknya dan pengeluar produk kamera berkenaan.

"Semuanya bermula pada awal tahun ini apabila Canon menjadi salah satu penaja utama untuk program kembara saya iaitu Yuna Inspired.

"Pihak Canon memberikan sebuah kamera 5D Mark II untuk tujuan merakamkan gambar-gambar dan aktiviti saya sepanjang kembara ke Amerika Syarikat.


Yuna dan Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Canon Marketing Malaysia, Melvyn Ho pada majlis pelantikannya sebagai duta Canon di Hotel Istana, Kuala Lumpur, Khamis.


"Saya bukan saja merakamkan gambar malah turut membuat rakaman video pengembaraan dengan kamera itu. Mungkin daripada situlah, mereka berminat untuk melantik saya sebagai duta bermula awal bulan ini," katanya yang dilantik sebagai duta untuk tempoh setahun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Canon Marketing Malaysia, Melvyn Ho berkata, pelantikan Yuna sebagai duta produk adalah seiring dengan prinsip Canon yang menekankan aspek kualiti dan inovasi dalam teknologi produk tersebut.

"Kami berbangga dengan pemilihan Yuna sebagai duta Canon kerana dia adalah contoh terbaik bagi menggambarkan nilai jenama kami yang inovasi, kreatif, berkualiti dan sentiasa mahu memberikan yang terbaik untuk para pengguna.

"Jalinan ini adalah gabungan yang ideal kerana Yuna kreatif dalam muzik manakala Canon pula menekankan aspek inovatif dalam teknologi produk-produk yang kami hasilkan," katanya.

Selain mempromosikan produk keluaran terbaru jenama itu, Yuna juga bakal menghasilkan sebuah lagu tema untuk Canon tidak lama lagi.

Untuk perkembangan terkini tentang Yuna dan Canon, layari laman sosial http://facebook.com/canoncameramsia.

No comments:

Post a Comment