Ayu Raudhah, Zaquan selamat diijabkabul


ZAQUAN Adha Abd Radzak 23,menyarungkan cincin pernikahan ke jari isterinya Ayu Raudhah Che Wan 26, selepas selamat diijabkabulkan di Masjid Sultanah Bahiyah di Alor Setar.

ALOR SETAR 21 Jan. - Pelakon popular, Ayu Raudhah Che Wan dan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha Abd. Razak sah bergelar suami isteri setelah selamat diijabkabulkan, di sini hari ini.

Ayu, 27, dan Zaquan, 24, dinikahkan oleh Imam Masjid Sultanah Bahiyah, Mustafa Kamil Abdul Jamil dalam satu majlis di masjid itu di sini pada pukul 3.30 petang.

Pada majlis itu, Ayu diwalikan abangnya, Roshidi Che Wan, 31.

Zaquan yang juga pemain skuad Negeri Sembilan melafazkan akad nikah dengan sekali lafaz sebelum menandatangani ikrar sebagai pasangan suami isteri dan kemudian diikuti dengan acara menyerahkan mas kahwin berupa wang tunai RM1,888 dan menyarung cincin ikatan pernikahan dan acara membatalkan air sembahyang.

Majlis serba sederhana itu turut disaksikan oleh lebih 100 jemputan termasuk ibu Ayu, Zabedah Saat; ibu bapa Zaquan, Abd. Razak Abdul Radzak Salleh dan isteri, Azizah Arshad, anggota keluarga serta rakan kedua mempelai.

Majlis persandingan mempelai akan berlangsung malam di rumah pengantin perempuan di Taman Mawar di sini bermula pukul 8 malam yang dijangka dihadiri lebih 1,000 jemputan termasuk rakan artis dan pemain bola sepak negara.

No comments:

Post a Comment