Scha Al-Yahya Mahu Segera Kahwin
Scha berharap dapat menamatkan zaman bujang secepat mungkin. - Foto SAM THAM
KUALA LUMPUR: Pelakon Scha Al-Yahya, 28, menjelaskan kalau ikutkan hati dia dan pengacara Awal Ashaari mahu bernikah secepat mungkin kerana bimbang pelbagai ujian dan risiko yang bakal ditempuh sekiranya hasrat itu tidak ditunaikan segera.
Namun begitu kesibukan mereka membuatkan keinginan berkenaan tidak dapat dilaksanakan selain kedua belah pihak pula masih berbincang tentang perkara itu.
"Memang kami mahu berkahwin, kalau boleh secepat mungkin. Bagi saya, perkara yang baik tidak perlu ditangguhkan. Saya bimbang juga kalau lebih lama berkawan, lebih banyak risikonya.
"Malangnya kesibukan kami menjadi penghalang. Terus-terang, kedua belah keluarga masih belum berbincang dan kami sedang mencari masa yang sesuai. Paling awal pun mungkin tahun depan," katanya yang ditemui pada sidang media drama Dunia Kita, baru-baru ini.
Ditanya adakah dia berasa rimas dengan pertanyaan yang berterusan tentang perancangan perkahwinannya dengan hos dan aktor itu, beritahu Scha, dia sangat memahami dan menghormati tugas media yang sentiasa ingin mendapatkan perkembangan semasa seseorang artis.
"Saya akui tidak berasa rimas biarpun soalan tentang perancangan perkahwinan saya dan Awal ditanya oleh media tanpa henti.
"Bukanlah bermakna saya ingin menghebohkan cerita hubungan kami tapi jika ada yang bertanya saya tidak keberatan untuk berkongsi cerita," katanya.
Mengulas pula tentang pembabitannya dalam drama bersiri terbaru Dunia Kita Carefree, Scha mengakui kepuasan yang berbeza dirasainya berlakon dalam drama itu.
"Kali ini, saya berpeluang untuk mempamerkan lakonan yang segar dan berbeza. Sebelum ini orang selalu menonton lakonan saya yang kasar dan kelakian saja.
"Dalam drama ini saya menjadi pelajar jurusan fesyen yang obses pada fesyen, manja dan agak gedik bernama Rania.
"Saya berterima kasih kepada pengarahnya Michael Ang kerana berani untuk menonjolkan karakter yang berlainan dalam diri saya," katanya.
Selain Scha, drama sebanyak lapan episod itu turut dibintangi oleh Marsha Londoh, Awal Ashaari, Saiful Nizen, Datuk Jalaludin Hassan, Sharifah Shahora dan pemenang peraduan gadis Carefree, Nur Amalina.
Drama komedi remaja ini akan mula bersiaran pada 27 Mei ini, setiap Jumaat pukul 7.30 malam selama setengah jam di Astro Ria (saluran 104).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment