Badan Gemuk Beri Tekanan Pada Kamal Adli



HIBURAN
Rabu Mei 18, 2011
Badan Gemuk Beri Tekanan Pada Kamal Adli

Oleh FERIDE HIKMET ATAK

Kamal Adli

PETALING JAYA: Pelakon Kamal Adli berasa tertekan apabila orang di sekelilingnya mengatakan tubuh badannya semakin gemuk.

Kamal berkata, dia sengaja membesarkan badan daripada 75 kilogram (kg) kepada 81 kg sebelum ini bagi memenuhi tawaran watak komando untuk sebuah filem perang pada tahun lalu. Sayang sekali penggambaran filem berkenaan tidak dapat dijalankan.

"Nak diikutkan selepas badan dah berisi, saya perlu ke gim untuk tegapkan badan. Malangnya saya telah dihubungi oleh seorang krew produksi tersebut bahawa filem itu terpaksa ditangguhkan.

"Waktu itu, saya berasa agak tertekan kerana selama sebulan lebih saya tidak mengambil sebarang tawaran berlakon kerana ingin memberi fokus untuk membesarkan badan," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Selasa.

Tambah Kamal, dia kini sedang dalam proses untuk menguruskan badannya semula dan setakat ini dia berjaya menurunkan berat sebanyak empat kilogram (78 kg).

"Saya dah tak larat nak dengar komen daripada orang tentang susuk tubuh saya. Alhamdulillah, saya berjaya menurunkan berat saya sedikit demi sedikit dengan menjaga pemakanan harian saya.

"Syukur kerana pihak stesen televisyen masih lagi menerima saya dan tawaran lakonan masih lagi berjalan lancar seperti biasa," ujarnya yang kini sedang sibuk dengan penggambaran drama Analulu untuk stesen TV3.

Bagaimanapun, Kamal berkata, berkemungkinan besar filem perang tersebut akan menjalani penggambaran pada tahun ini dan dia masih lagi menerima watak tersebut memandangkan pihak penerbit filem berkenaan tidak memaksanya untuk berbadan besar semula.

Sementara itu, Kamal juga mempunyai sasaran untuk berlakon filem pada tahun ini agar dapat mengkaji watak yang diberi dengan lebih mendalam.

"Memang saya begitu teringin berlakon filem. Bukan kerana jangka masa penggambarannya pendek, tetapi berlakon filem memberikan kita ruang masa untuk mengkaji setiap watak yang diberikan," katanya yang selama ini banyak terlibat sebagai pelakon drama.

No comments:

Post a Comment