Cakap Lepas: Ada pihak Kurang Senang Dengan Wardina
KUALA LUMPUR: Kelantangan pengacara Wardina Safiyyah, 32, yang sering mengkritik mengenai isu-isu hiburan menyebabkan sesetengah pihak kurang menyenangi dirinya sehingga sanggup mengeluarkan pelbagai tuduhan.
Wardina berkata, dia mengetahui ada yang memanggil dirinya sebagai artis cakap lepas, sukar untuk bekerjasama dan terlalu mementingkan kesempurnaan.
"Saya tahu pelbagai andaian dan persepsi orang ramai berikan tentang diri saya sebelum ini tetapi lebih elok mereka mengenali diri saya terlebih dulu.
"Anda perlu mengenali seseorang itu sebelum menghakiminya. "Saya juga berharap semua pihak memberikan ruang kepada artis untuk mengajak orang ramai ke arah kebaikan.
"Ini kerana saya perhatikan artis yang berimej bersih sukar untuk mendapat perhatian di media," katanya ketika majlis pelancaran susu tepung Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan di Hotel Hilton, di sini, Isnin.
Pengacara Malaysia Hari Ini tersebut telah empat tahun dilantik sebagai duta Anmum.
Sebelum ini Wardina mencetuskan kontroversi apabila berkata selebriti di Malaysia tidak layak menjadi ikon. Sementara itu ibu kepada tiga orang anak ini berkata dia lebih selesa untuk tampil dengan imej keibuan.
Bukan itu sahaja, Wardina juga bersedia untuk berkongsi apa-apa perkara melibatkan anak-anak dengan para ibu bapa.
Tumpuan Wardina juga turut diberikan kepada para remaja terutama wanita bagi membantu mereka membendung gejala sosial yang semakin meningkat ketika ini.
"Setiap artis ada kelebihan masing-masing. Daripada orang mengenali saya sebagai artis seksi, lebih baik saya fokuskan kepada perkembangan anak-anak.
"Saya juga berkongsi nasihat dengan pelajar wanita di sebuah kolej di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tentang cara membendung isu buang bayi.
"Alhamdulillah, mereka memberikan respons yang baik dan berjanji untuk mendengar nasihat tersebut,” ujar penuntut jurusan psikologi di sebuah universiti ini.
Wardina bakal menamatkan pengajian ijazah bidang berkenaan pada tahun 2013.
Mereka yang berminat untuk berkongsi masalah atau apa-apa perkara tentang anak-anak dialu-alukan menghantar pendapat atau soalan di laman web Facebook Wardina Safiyyah OfficialPage atau emel wardina.dina@gmail.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment