Filem Haq belum sampai RM1 juta
TINGGAL sehari sahaja lagi untuk menghampiri Syarat Wajib Tayang yang ditetapkan oleh Finas yang berakhir esok (10 Februari), filem adi wira (Superhero) Melayu, Haq yang bergenre aksi hanya mampu membuat kutipan kasar sebanyak RM800,000 sejak menemui peminat pada 27 Januari lalu.
Berbanding kos produksi sekitar RM2.4 juta, filem pertama terbitan KasehDia Pictures yang membariskan pelakon terkenal Zul Huzaimy, Adi Putra, Nanu Baharudin, Raja Farah dan ramai lagi ini seakan dipandang sepi oleh peminat seni tempatan yang dilambakkan filem genre seram dan komedi seram sekarang.
Kemenangan yang diraih dalam kategori Anugerah Lakon Layar Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM-23) serta pelbagai publisiti lain ternyata masih belum dapat membantu filem arahan bersama CL Hor dan Jumaatun Azmi itu. Begitupun Jumaatun yang juga produser Haq dengan kerjasama Nanu sebagai penerbit bersama tidak kecewa dan menganggap ini tetap satu petanda positif.
"Saya akui filem ini ada banyak kelemahan tapi pada masa sama saya melihat filem ini tetap mempunyai golongan peminat tersendiri yang sukakan aspek sinematografi dan konsep yang ditampilkan. Tak dinafikan sebagai filem pertama, ada pelbagai pandangan pro dan kontra mengenai filem ini namun saya tetap berfikiran positif.
"Segala pandangan ini saya ambil untuk digunakan dalam projek filem yang seterusnya. Mengenai sekuel Haq yang dirancang, saya akan duduk berbincang semula dan mungkin merancang akan adaptasi dalam bentuk program TV ataupun dikekalkan dalam bentuk filem. Saya akan teliti respons semua pihak dan ubah suai format jika perlu. Kos yang perlu dikeluarkan juga akan diambil kira," katanya ketika dihubungi semalam.
Tambah Jumaatun lagi, pihaknya juga akan berbincang dengan United Studios, anak syarikat KRU Studios yang menjual dan mengedarkan filem ini untuk memikirkan cara menambah lagi kutipan hasil filem ini.
"Kami akan bersama-sama memikirkan platform lain untuk menjual filem ini antaranya menerusi penerbitan DVD dan memasuki pasaran Timur Tengah. Untuk filem ini ditayangkan menerusi Astro First, saya kena kaji dulu kesannya," katanya.
Jumaatun akui syarikatnya yang ditubuhkan sejak 1999, tidak membuat kajian mendalam mengenai minat penonton terhadap konsep filem ini. Bagaimanapun katanya Haq menampilkan mesej yang baik secara halus. "Untuk projek seterusnya saya sedang menerbitkan filem bergenre komedi. Bukanlah saya mengikut rentak arus tapi sebagai produksi baru, saya nak cuba produk berlainan pula kerana pertamanya saya nak kenal pasti cita rasa peminat dan keduanya saya mahu baiki kredibiliti dengan hasilkan filem yang berkualiti. "Sekarang saya berminat nak menerbitkan pelbagai genre filem serta nak bekerjasama dengan individu yang ada kelebihan tersendiri. Saya beri kepercayaan kepada aktres Melissa Saila sebagai pengarah untuk filem kedua, Dari Kerana Mata yang bergenre komedi. "Sekali lagi saya ambil risiko tapi saya percaya dengan kebolehannya. Filem ini sedang menjalani proses suntingan dan saya sasarkan tayangannya sama ada pertengahan tahun ataupun pada hujung tahun ini," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment