Zamani hidup mengikut arus



BILA mendengar lagu Gerimis Mengundang, Nur Kasih dan Kembali Terjalin, kelunakan suara Zamani masih kekal walaupun sudah hampir enam tahun dia menyepi.

Zamani atau nama penuhnya, Zamani Ibrahim, 40, yang begitu popular bersama kumpulan Slam sekitar tahun 1990-an, kelihatan begitu kurus ketika tampil menghiburkan para peminatnya pada majlis Bersama Bintang 2011 - Pop Leleh di pentas Dataran Karyawan, Finas, Hulu Kelang baru-baru.

Hujan lebat pada malam berlangsungnya majlis tersebut ternyata tidak menghalang lebih 500 orang hadir untuk mendengar alunan suara Zamani.

Aura pentas yang cukup kuat serta gaya yang tersendiri yang dipamerkan oleh vokalis kumpulan Slam ini terus menghiburkan hadirin dengan lagu Syair Si Pari-Pari.

Menurut Zamani yang masih bujang, dia sedar dirinya tidak seaktif dahulu kerana ketiadaan album baru untuk peminat.

Tambahan pula, kemunculan penyanyi-penyanyi baru dengan fenomena genre baru melanda industri muzik tanah air, membuatkan Zamani terpaksa memberi laluan kepada muka-muka baru.

“Rentak lagu yang saya dendangkan dari dulu sehingga sekarang tetap balada tetapi arus perubahan yang melanda industri muzik tanah air lebih kepada kumpulan indie.

“Jadi, apa yang mampu saya lakukan ialah melihat orang baru mengambil tempat yang pernah saya duduki dahulu,’’ katanya ketika ditemui selepas selesai membuat persembahan.

Zamani berkata, dia bukannya takut untuk bersaing dengan orang muda seperti Faizal Tahir tetapi penyanyi yang turut mempopularkan lagu Kurnia ini lebih selesa dengan pendekatan melihat perkembangan semula industri muzik tanah air.

Kata Zamani lagi, sebenarnya dia ada muncul dengan sebuah album mini yang mengandungi lima buah lagu tetapi disebabkan tiada promosi, album itu seolah-olah tidak wujud.

Dia turut mengakui, tidak tahu bilakah album mini itu berada di pasaran kecuali secara kebetulan, dia ternampak album mininya itu dijual di kedai menjual cakera padat (CD).

“Album mini itu edaran syarikat Universal Music dan memang saya sendiri tidak tahu bilakah album itu dipasarkan kerana promosi pun tidak ada.

“Album mini itu diterbitkan di bawah label Johan Music dengan judul album, Terima Kasih. Kesemua lagu yang dimuatkan adalah lagu-lagu baru.

“Komposer yang terlibat dalam album tersebut ialah Bong, Tam Spider, Nan Dengkil, Che Mat dan Abang Chen.

“Mungkin album itu akan dilancarkan semula dengan memasukkan tiga lagu baru kerana saya sedar, masih ada peminat yang ingin beli album saya,’’ ujarnya.

Lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album mini itu ialah Sewaktu Jendela Terbuka, Daftar Cinta, Terima Kasih, Asyik Ku Lagukan dan Angin Cinta.

Bercakap tentang kelembapan industri muzik yang melanda sejak tiga tahun lalu, Zamani berkata, dia sedih kerana industri yang menjadi periuk nasinya berada dalam keadaan suram.

Sambil menghela nafas panjang, Zamani yang pernah melahirkan 10 buah album termasuk enam album kompilasi bersama Slam berkata, dia tidak akan berubah mengikut trend yang dibawakan oleh penyanyi lelaki hari ini.

Sebaliknya, kata Zamani, dia lebih selesa mengekalkan konsep lama iaitu balada kerana kemunculan awalnya bersama Slam pada tahun 1993 menerusi album Slam sudah sebati dengan dirinya .

“Tidak perlu berubah kerana terikut-ikut dengan orang lain. Lebih baik saya kekal dengan gaya saya, lagu-lagu saya.

“Lagipun, industri muzik kita baru pulih tahun lepas di mana ada ruang untuk album baru dipasarkan.

“Walaupun tidak selalu muncul di akhbar atau kaca TV, alhamdulillah saya dapat bertahan dan masih mendapat undangan menyanyi,’’ katanya.

No comments:

Post a Comment