Muka baru Ana Raffali
SESUATU yang cukup menarik untuk diperkatakan tentang senarai pencalonan Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 (ABPBH2010) yang diumumkan baru-baru ini.
Mana tidaknya, edisi kali ini memperlihatkan kehebatan muka-muka baru yang dilihat mendominasi pencalonan kali ini.
Dengan itu, ia sekali gus membuktikan anak-anak muda yang mewarnai industri hiburan tanah air masa kini menjadi pilihan pengundi untuk disenaraikan sebagai lima paling popular dalam 16 kategori yang dipertandingkan.
Lebih menarik apabila menyaksikan ada beberapa nama yang cukup sinonim dengan anugerah populariti itu turut sama bersaing dengan mereka yang masih baru dan mentah dalam senarai pencalonan.
ABP2010 menyaksikan kecemerlangan pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-25, Ana Raffali apabila menguasai senarai pencalonan dengan tiga kategori.
Ana yang dicalonkan untuk Artis Baru Wanita Popular, Penyanyi Wanita Popular dan Artis Duo/Berkumpulan Popular melahirkan rasa terkejutnya dengan kejayaan terbarunya itu.
"Alhamdulillah, saya amat bersyukur dengan pencalonan ini dan saya memang tidak menyangka sama sekali untuk dicalonkan dalam tiga kategori.
"Saya memang selalu berangan dan mengimpikan satu hari nanti nama saya akan terselit dalam senarai pencalonan anugerah ini.
"Dan, tahun ini membuktikan angan-angan saya itu menjadi kenyataan. Bukan hanya satu tetapi tiga pencalonan sekali gus. Rasa macam bermimpi pula," katanya sambil ketawa ketika usai majlis sidang akhbar ABP2010 yang berlangsung di Subang Saya, Selangor, baru-baru ini.
Untuk Artis Baru Wanita Popular, Ana atau nama sebenarnya Ana Nur Hidayah Mohd. Rafali akan bersaing hebat dengan Adira, Mizz Nina, Nurul Elfira Loy dan Nur Syuhaida atau lebih dikenali sebagai Dottie.
Sementara bagi kategori Penyanyi Wanita Popular pula, pelantun lagu Tolong Ingatkan Aku itu tersenarai bersama-sama Adira, Alyah, Stacy dan Yuna.
Ketika ditanya tentang harapannya untuk menggondol kesemua tiga kategori itu, Ana cukup sedar akan persaingan yang perlu dihadapi daripada calon-calon lain yang disifatkannya bukan calang-calang.
Namun, dia meletakkan sedikit harapan untuk memenangi kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular yang turut mencalonkan dirinya bersama Sohaimi Mior Hassan dan Altimet.
"Saya percaya kami tercalon dalam kategori ini adalah kerana impak besar yang terhasil daripada lagu Kalau Berpacaran.
"Jadi, saya memang berharap agar kami dapat menang kategori ini pada malam itu nanti. Jika ia menjadi kenyataan, kejayaan itu bukan hanya untuk saya seorang tetapi juga untuk Uncle Sohaimi dan Altimet," kata Ana yang cukup dikenali dengan lagu Hujan Bunga Di Kuala Lumpur itu lagi.
Selain Ana, Sohaimi dan Altimet, kategori Artis Duo/Berkumpulan Popular itu juga menyenaraikan empat calon hebat lain iaitu Azlan & The Typewriter, Bunkface, Meet Uncle Hussain dan 6ixth Sense.
Seorang lagi artis, Raja Azura turut menyamai rekod Ana apabila dicalonkan dalam tiga kategori iaitu Artis Komedi Wanita Popular, Pengacara TV Wanita Popular dan Penyampai Radio Wanita Popular.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment